Wednesday, April 25, 2012

BAB 1

BAB 1
“Mak, Fia dah balik!”. Sofia melaung dari muka pintu dan terus membawa buku dan beg sekolahnya ke dalam bilik. Puan Latijah yang sedang menggoreng ikan sedikit terangkat bahunya mendengar jeritan Sofia. Puan Latijah hanya menggeleng-gelengkan kepalanya melihat ulah anak gadisnya itu.
“Mak, buat apa tu?” soal Sofia sejurus melihat emaknya di dapur. Sofia terus mendapatkan emaknya di dapur setelah menyimpan beg sekolah dan bukunya di dalam bilik.
“Fia, Fia..kalau tak jerit tak boleh ke? Apa pulak dikata jiran-jiran kalau dengar anak dara terjerit-jerit macam tu. Hah, ni baju sekolah tak tukar lagi. Kenapa tak mandi?”. Puan Latijah terus membebel sebaik melihat Sofia sambil tangannya lincah membalikkan ikan dalam kuali.
Sofia hanya tersengih-sengih mendengar bebelan emaknya. Baginya perkara seperti itu tidak memberi kesan kepadanya. Sofia memang suka menyakat emaknya dan mendengar bebelan emaknya. Kalau budak lain mesti dah cabut awal sebaik mendengar mukadimah leteran emak masing-masing. Tetapi tidak bagi Sofia kerana dia hanya mempunyai emak dan ayah kerana dia hanya satu-satunya anak Encik Firdaus dan Puan Latijah. Mendengar bebelan emaknya lebih seronok daripada membiarkan rumah dua tingkat tersebut sunyi sepi. Ayahnya bekerja sebagai pembantu pengurusan di sebuah sekolah menengah dan hanya berada di rumah waktu petang. Selepas habis sekolah, hanya Puan Latijah yang menyambut kepulangan Sofia.
“Ala mak..nantilah Fia tukar. Fia laparlah mak. Mak masak apa hari ni mak?” Sofia bertanya sambil menuju ke meja makan. Hidungnya sempat mencium bau asam limau ketika melangkah masuk ke rumah tadi. Itulah yang membuatkan Sofia tidak sabar-sabar hendak ke dapur sehingga tidak sempat hendak menukar pakaian sekolahnya. Tambah-tambah lagi Puan Latijah sedang menggoreng ikan terubuk masin. Kecur liur dibuatnya..
“Wah... terubuk masin cecah asam limau... kangkung goreng belacan... Bestnya!” jerit Sofia sambil melompat keriangan. Sofia terus duduk di meja makan dan menyenduk nasi ke dalam pinggan Puan Latijah dan dirinya sendiri.
“Amboi..tak menyempat-nyempat kamu ya. Tak makan ke kat sekolah tadi Fia?” soal Puan Latijah sambil meletakkan ikan terubuk yang baru digorengnya di atas meja.
“Mana mak tahu? Mak pasang spy eh...” usik Sofia sambil menggerak-gerakkan jari telunjuknya.
“Banyak Fia punya spy. Ketuk dengan senduk kang..” balas Puan Latijah sambil berpura-pura ingin mengetuk kepala Sofia dengan senduk lauk yang dipegangnya. Sofia mengelak sambil terkekeh-kekeh ketawa.
“Ilek lah mak..nak makan ni. Tak sayang anak betul lah mak ni.. tadi rehat Fia dengan Ifa duduk kat library. Ingat nak cari buku rujukan nak buat ulang kaji. Kan SPM dah dekat. Apa kata orang putih tu mak? Around the corner?.. cari punya cari tak sedar masa rehat dah habis. Tu yang tak sempat nak makan” jawab Sofia panjang lebar namun tangannya tidak berhenti daripada menyenduk lauk ke dalam pinggannya.
“Hah, baguslah kalau macam tu Fia. Elok lah kamu berkawan dengan Ifa tu. Boleh dibawa belajar, bukannya merayau tak tentu hala. Yang kamu dengan Imran tu, jangan tak ingat sekarang ni waktu belajar. SPM tak lama lagi. Mak tak halang kamu nak berkawan tetapi sendiri pandai ingat lah ya..” nasihat Puan Latijah dan terus menyuap nasi ke dalam mulut. Sofia yang pada mulanya tersedak mendengar nama Imran kemudiannya tersenyum nakal. Ada lah yang ingin disakatnya tu..
“Waseh mak..macam orang muda. Sendiri pandai ingat lah ya.. hahaha!”.
“Ingat mak duduk rumah tak tau cakap orang-orang muda ke?” balas Puan Latijah sambil tersenyum.
Zarifa merupakan sahabat baik Sofia sejak dari sekolah rendah. Banyak rahsia serta suka duka yang mereka kongsikan bersama. Mereka sering ke mana-mana bersama dan Sofia amat menyayangi dan mempercayai Zarifa. Sofia disenangi keluarga Zarifa manakala Zarifa telah dianggap seperti anak sendiri oleh orang tua Sofia. Zarifa lebih suka berada bersama keluarga Sofia kerana keadaan keluarganya yang tidak begitu baik. Ayahnya telah meninggalkan mereka sekeluarga dan mengahwini wanita lain ketika Zarifa masuk tingkatan 1. Ibunya terpaksa bertungkus-lumus membesarkan mereka tiga beradik. Abangnya yang marah dengan ayah mereka mula melibatkan diri dengan rakan-rakan yang tidak elok dan menyebabkan abangnya diberhentikan sekolah kerana sering ponteng dan menimbulkan masalah di sekolah. Zarifa amat malu dan dipinggirkan di sekolah lantaran sikap abangnya. Nasib baik Sofia sentiasa memberikan sokongan kepadanya ketika itu. Adiknya, Amiza beruntung kerana tidak berada di sekolah yang sama kerana masih di sekolah rendah.
Imran pula merupakan teman lelaki Sofia dan dua tahun lebih tua daripada Sofia. Mereka telah bercinta sejak tingkatan 4. Walaupun sedar masih bersekolah namun bila hati dah terpaut semuanya tidak menjadi halangan. Payah juga Imran hendak memikat Sofia dahulu tetapi mujurlah ada Zarifa yang sudi menghulurkan bantuan. Imran merupakan antara top student di sekolah mereka tetapi dia jarang berdampingan dengan pelajar perempuan walaupun banyak yang meminatinya. Apabila melihat Sofia hatinya terus terpikat namun salam perkenalan dipandang dingin oleh Sofia. Dengan bantuan Zarifa barulah Imran berjaya memikat hati Sofia. Kini, hubungan mereka hampir 2 tahun. Imran sanggup masuk tingkatan enam semata-mata ingin bersama dengan Sofia. Mereka merancang untuk masuk universiti yang sama setelah Sofia tamat SPM.
Puan Latijah hanya mampu memberi nasihat kepada Sofia apabila Sofia mengkhabarkan hubungannya dengan Imran. Dia yakin Sofia pandai membawa dirinya.

No comments: