Sunday, April 29, 2012

BAB 3


BAB 3
Imran yang berada di pejabat tersenyum membaca mesej Sofia. Menjadi rutinnya untuk menghantar mesej kepada Sofia setiap pagi. Imran sering merindui Sofia dan hanya telefon menjadi tempat untuknya dapat berhubung dengan Sofia. Namun status sebagai pelajar membuatkan Sofia jarang mempunyai waktu untuk Imran. Sebagai seorang yang pernah bergelar siswa, Imran memahami keadaan Sofia.
Tamat pengajian di UITM, Imran mengambil keputusan untuk bekerja. Dia ingin bekerja dan mengumpul wang bagi membiayai persekolahan adik-adiknya yang dua orang lagi. Seorang akan menduduki SPM manakala seorang lagi akan masuk UPM, Serdang bulan depan. Pastinya memerlukan belanja yang besar. Tambahan pula ayahnya, Encik Lokman telah meninggal dunia dua tahun lepas. Di bahu Imran lah diletakkan segalanya. Hal ini lah yang merunsingkan Imran dua bulan ini.
Imran tidak tega menyusahkan ibunya lagi. Puan Limah telah bertungkus-lumus menanggung pengajiannya dahulu. Sekarang tiba masanya untuk dia pula menanggung keluarga menggantikan ibunya. Tamat UITM Imran beruntung kerana mendapat kerja di sebuah bank setelah 3 bulan mencuba nasib mencari pekerjaan. Kini telah setahun lebih dia bekerja sebagai kerani di bank tersebut.
Imran sebenarnya ingin berkongsi masalahnya dengan Sofia namun kesibukan Sofia membantutkan keinginannya. Setiap kali Imran ingin membuka mulut untuk berkongsi masalahnya, pasti ada-ada sahaja tugasan yang perlu dilakukan oleh Sofia. Akhirnya Imran hanya mampu mengeluh dan membiarkan sahaja walaupun dia amat memerlukan sokongan daripada seseorang. Cukuplah sekadar untuk berkongsi.

.................................................
Sofia terus mencapai telefon bimbitnya dan mendail nombor telefon Imran sebaik sahaja kuliah pagi itu tamat.
Hello. Im buat apa tu?” soal Sofia sebaik mendengar suara Imran menjawab panggilannya.
“Tengah lunch. Fia baru habis kuliah ke?” soal Imran pula. Sejuk hatinya mendengar suara gemersik Fia. Sungguh dia merindui gadis itu.
“Ya. Lepas ni nak makan kat kafe dengan Rita. Petang ada kuliah lagi. Sorry sebab tak jawab call semalam. Lepas Ifa call Fia terus silentkan handphone. Nak siapkan assignment. Tak sedar pulak Im ada call lepas tu. Macam janji je dengan Ifa ye..” balas Sofia disusuli ketawa kecilnya. Sungguh cantik bila Sofia ketawa. Ini lah salah satu sebab mengapa Imran tertawan dengan Sofia dahulu. Dia sering teringatkan tawa gadis itu.
“Fia memang.. selalu lebihkan Ifa dari Im. Entah siapa sebenarnya buah hati Fia. Im ke Ifa.” Imran sengaja ingin bermanja dengan Sofia kerana jarang benar dia berkesempatan berbual begitu dengan Sofia. Sofia begitu sibuk dengan tugasannya kerana tahun ini merupakan tahun akhirnya bergelar guru pelatih.
“Ifa apa khabar? Masih lagi kerja di butik tu?”
“Ni lah yang Fia nak cerita kat Im. Ifa bagitau yang bos butik tu nak pindah ke Kuala Lumpur. Ikut husband.”
“Habis tu kerja Ifa?”
“Habis.” Jawab Sofia sepatah sambil ketawa.
“Fia...” Imran menyebut nama Sofia dengan nada geram. Orang tengah serius dia pulak boleh main-main. Imran mengomel dalam hati sambil tersenyum dengan karenah Sofia.
“Hehe.. takde la.. Ifa terpaksa cari kerja lain lah nampaknya. Nak buat macam mana, dah butik terpaksa tutup. Kesian pulak dengar cerita Ifa. Mana nak cari kerja dalam masa yang singkat kan.”
“Bila Ifa perlu berhenti?”
“Bulan ni bulan terakhir. Im tolong-tolonglah tengokkan kerja kosong untuk Ifa eh.. kalau kat tempat Im kerja lagi ok...ehe..”
“Fia ni.. yelah.. nanti Im tolong tengokkan. Ni Fia tengah buat apa sekarang ni?”
“Nak balik asrama. Tapi singgah kafe dulu lah. Beli makanan. Rasanya makan dalam bilik je lah. Malas nak makan kat kafe. Okey lah Im.. Fia baru masuk kafe ni. Nanti kita borak lagi ok?”
“Okey. Take care.. bye..”
Sejurus tamat berbual dengan Sofia, Imran makan sambil memikirkan hal Zarifa yang baru dikhabarkan oleh Sofia. Tamat sekolah dahulu Zarifa menolak untuk memohon masuk Institut Pendidikan Guru bersama-sama Sofia dan Imran. Alasannya dia tidak berminat untuk menjadi guru dan akhirnya Zarifa masuk ke tingkatan enam. Tamat belajar Zarifa memilih untuk bekerja di butik tempatnya sekarang kerana ingin membantu keluarganya. Tapi kini, Zarifa menghadapi masalah. Imran faham keadaan Zarifa kerana dia juga sama seperti Zarifa yang perlu menanggung keluarganya. Oleh itu, dia akan mencuba sedaya upaya untuk membantu Zarifa.

BAB 2


BAB 2
Telah 4 tahun setengah masa berlalu. Setahun lagi perlu dilalui oleh Sofia untuk menggenggam segulung ijazah. Impian Sofia dan Imran untuk sama-sama masuk universiti tidak kesampaian. Sofia berjaya diterima masuk ke institut perguruan. Telah menjadi cita-citanya untuk menjadi guru sejak sekolah rendah. Sofia memohon kursus Pendidikan Khas manakala Imran memohon kursus Bahasa Melayu. Banyak juga yang bertanya, mengapa Pendidikan Khas? Sofia tersenyum. Jawapannya hanya diluahkan dalam hati. Guru adalah pendidik. Mengapa harus memilih siapa muridnya?
Keputusan diperolehi. Malangnya hanya Sofia berjaya temu duga dan diterima masuk ke Institut Pendidikan Guru Kampus Batu Lintang major Pendidikan Khas manakala Imran masuk UITM, Shah Alam.
Beberapa tahun ini Sofia dan Imran hanya terus berhubung menggunakan telefon. Kesempatan untuk berjumpa hanyalah pada waktu cuti. Itupun Imran kadang-kadang tidak dapat balik ke Miri kerana cuti yang singkat dan tambang yang mahal ketika belajar di UITM. Sofia tidak mempunyai masalah sangat kerana dia boleh balik menggunakan bas walaupun memakan masa hampir 14 jam dari Kuching ke Miri.
Namun begitu setelah Imran tamatkan pengajiannya dan bekerja di Miri, mereka tetap jarang dapat bertemu. Ini kerana Sofia hanya akan balik apabila cuti panjang lantaran banyak yang diuruskannya di institut.
“Oi, Fia! Bangun lagi woi..! dah pukul 8 ni.. kuliah 8 setengah” ujar Rita samabil menarik selimut Sofia. Rita merupakan teman sebilik Sofia dan juga sama kelas dengannya. Mereka telah menjadi teman sebilik sejak dari foundation lagi dan ini masuk tahun keempat mereka ditempatkan dalam bilik yang sama.
“Hah?!” Sofia menjerit dan sepantas kilat bangun mendengar kata-kata Rita. Tuala diambil dan Sofia bergegas berlari ke bilik air. Setelah Sofia keluar, diam-diam Rita ketawa kecil.
Dalam bilik air Sofia berfikir-fikir bagaimana dia boleh terlewat bangun sedangkan dia telah pun mengunci jam locengnya 7.45. “Habis lah aku kena marah lecturer sebab lewat masuk..”  bisik Sofia dalam hati.
Masuk dalam bilik, Sofia terkejut melihat Rita sedang enak sarapan pagi, siap menyediakan sarapan untuknya sekali.
“Eh, Rita! Bukan kau kata dah lambat ke? Ni yang seronok sarapan sambil tersengih ni tak takut ke lewat?” Sofia bertanya sambil mengerutkan dahi pelik dengan kerenah Rita. Sofia terus memakai baju kurung yang telah siap diseterika malam tadi. Mereka berdua memang selalu menyediakan pakaian kuliah pada waktu malam agar senang ke kuliah waktu pagi.
Sofia ke hadapan cermin untuk menyikat rambutnya yang telah pun panjang separuh pinggang. Saat Sofia melihat atas meja, Sofia tergamam dan terus menoleh ke arah Rita yang baru hendak menyuapkan roti ke mulutnya dengan jelingan tajam. Rita yang berasa sedang diperhati terus mengangkat muka. Terangkat bahu Rita kerana terkejut melihat wajah Sofia yang menjeling tajam.
“Err...jangan la marah roomate..hehe..” Rita tersengih sambil menunjukkan roti yang telah disapu jem anggur kesukaan Sofia.
“Banyak cantik muka kau! Pukul 8 konon.. jam loceng aku belum berbunyi lagi tau” marah Sofia dan terus merampas roti yang ditunjukkan oleh Rita. Sehabis sahaja Sofia mengatakan demikian jam locengnya berbunyi. Sofia menghadiahkan sebuah cubitan kepada Rita sebelum berlalu mengambil jam locengnya dan mematikannya.
Selesai menyikat rambutnya tadi, Sofia melihat jam di atas mejanya. Alangkah terkejutnya dia apabila jam baru menunjukkan 7.43. Saat itu barulah dia tahu bahawa dia sudah terkena dengan Rita sebab itu lah dia terus menjeling Rita dengan maksud tersirat kenapa Rita mengenakannya awal pagi lagi. Sudah lah malam tadi dia lewat tidur kerana ingin menyiapkan assignment yang perlu dihantar petang ini.
Sorrylah Fia..kau janganlah marah. Aku sebenarnya nak ajak kau sarapan. Kau kan tak makan malam semalam sebab nak siapkan assignment. Mesti kau lapar kalau terus turun kelas. Aku siap sediakan roti dengan jem kesukaan kau lagi. Milo pun aku dah bancuhkan”. Rita menghulurkan cawan berisi air milo dengan membuat muka simpati kepada Sofia sebaik sahaja Sofia duduk di sebelahnya.
Sofia yang mendengarnya terus berasa terharu kerana tidak menyangka sebegitu sekali keprihatinan Rita terhadapnya. Sekali gus dia berasa bersalah kerana telah tersilap menyangka bahawa Rita sengaja hendak mengenakannya. Tambah pula penat kerana menyiapkan asssignment malam tadi masih terasa. Baru sahaja tadi Sofia sempat marah dalam hati kerana Rita mengenakannya mentang-mentang Rita telahpun siap assignmentnya. Sofia bukannya seorang yang mudah marah tetapi kepenatan yang masih bersisa menyebabkan anginnya tidak begitu baik pagi ini. Apa lagi bangun dalam keadaan yang mengejut.
Sofia kemudian senyum dan memandang Rita. “Thanks..” hanya itu yang mampu diluahkan oleh Sofia yang mula berasa sebak.
Your welcome..” Rita menjawab sambil tersenyum. Dia lega kerana Sofia tidak lagi marah padanya.
“Maaf sebab salah sangka tadi” ujar Sofia.
“Takpe..biasa je. No hard feeling.. Cepatlah makan, takut terlambat. Ada yang terpaksa menadah telinga dengar lecturer membebel nanti..hehe..” Rita menjawab sambil tersengih menunjukkan giginya yang putih itu.
Sofia dan Rita bersarapan dan turun kelas tepat 8.10. Mereka mahu turun awal kerana mahu mendisiplinkan diri dari awal. Jika guru sendiri lewat bagaimana pula dengan murid-murid nanti. Itulah kata-kata keramat yang sering dilontarkan oleh para pensyarah jika ada guru-guru pelatih yang lewat masuk ke kuliah.
Sebelum turun kuliah tadi Sofia sempat membelek telefon bimbitnya. Telah menjadi rutinnya untuk memeriksa telefon bimbitnya setiap pagi. Terpapar mesej daripada Imran.
Hi! Gud morning sayang.. dah bangun?
Sofia tersenyum membaca mesej dan Rita yang melihatnya terus mengusik Sofia.
“Mesej sayang lah tu..”
“Sibuk!” Sofia menjelirkan lidahnya kepada Rita dan membalas mesej.
Morning... Dah.. nak turun kelas. Kerja tak? Curi tulang eh..
Taklah..curi masa je...hehe.. Im ada mesyuarat lepas ni. Jaga diri.
Ok. U too..

Wednesday, April 25, 2012

BAB 1

BAB 1
“Mak, Fia dah balik!”. Sofia melaung dari muka pintu dan terus membawa buku dan beg sekolahnya ke dalam bilik. Puan Latijah yang sedang menggoreng ikan sedikit terangkat bahunya mendengar jeritan Sofia. Puan Latijah hanya menggeleng-gelengkan kepalanya melihat ulah anak gadisnya itu.
“Mak, buat apa tu?” soal Sofia sejurus melihat emaknya di dapur. Sofia terus mendapatkan emaknya di dapur setelah menyimpan beg sekolah dan bukunya di dalam bilik.
“Fia, Fia..kalau tak jerit tak boleh ke? Apa pulak dikata jiran-jiran kalau dengar anak dara terjerit-jerit macam tu. Hah, ni baju sekolah tak tukar lagi. Kenapa tak mandi?”. Puan Latijah terus membebel sebaik melihat Sofia sambil tangannya lincah membalikkan ikan dalam kuali.
Sofia hanya tersengih-sengih mendengar bebelan emaknya. Baginya perkara seperti itu tidak memberi kesan kepadanya. Sofia memang suka menyakat emaknya dan mendengar bebelan emaknya. Kalau budak lain mesti dah cabut awal sebaik mendengar mukadimah leteran emak masing-masing. Tetapi tidak bagi Sofia kerana dia hanya mempunyai emak dan ayah kerana dia hanya satu-satunya anak Encik Firdaus dan Puan Latijah. Mendengar bebelan emaknya lebih seronok daripada membiarkan rumah dua tingkat tersebut sunyi sepi. Ayahnya bekerja sebagai pembantu pengurusan di sebuah sekolah menengah dan hanya berada di rumah waktu petang. Selepas habis sekolah, hanya Puan Latijah yang menyambut kepulangan Sofia.
“Ala mak..nantilah Fia tukar. Fia laparlah mak. Mak masak apa hari ni mak?” Sofia bertanya sambil menuju ke meja makan. Hidungnya sempat mencium bau asam limau ketika melangkah masuk ke rumah tadi. Itulah yang membuatkan Sofia tidak sabar-sabar hendak ke dapur sehingga tidak sempat hendak menukar pakaian sekolahnya. Tambah-tambah lagi Puan Latijah sedang menggoreng ikan terubuk masin. Kecur liur dibuatnya..
“Wah... terubuk masin cecah asam limau... kangkung goreng belacan... Bestnya!” jerit Sofia sambil melompat keriangan. Sofia terus duduk di meja makan dan menyenduk nasi ke dalam pinggan Puan Latijah dan dirinya sendiri.
“Amboi..tak menyempat-nyempat kamu ya. Tak makan ke kat sekolah tadi Fia?” soal Puan Latijah sambil meletakkan ikan terubuk yang baru digorengnya di atas meja.
“Mana mak tahu? Mak pasang spy eh...” usik Sofia sambil menggerak-gerakkan jari telunjuknya.
“Banyak Fia punya spy. Ketuk dengan senduk kang..” balas Puan Latijah sambil berpura-pura ingin mengetuk kepala Sofia dengan senduk lauk yang dipegangnya. Sofia mengelak sambil terkekeh-kekeh ketawa.
“Ilek lah mak..nak makan ni. Tak sayang anak betul lah mak ni.. tadi rehat Fia dengan Ifa duduk kat library. Ingat nak cari buku rujukan nak buat ulang kaji. Kan SPM dah dekat. Apa kata orang putih tu mak? Around the corner?.. cari punya cari tak sedar masa rehat dah habis. Tu yang tak sempat nak makan” jawab Sofia panjang lebar namun tangannya tidak berhenti daripada menyenduk lauk ke dalam pinggannya.
“Hah, baguslah kalau macam tu Fia. Elok lah kamu berkawan dengan Ifa tu. Boleh dibawa belajar, bukannya merayau tak tentu hala. Yang kamu dengan Imran tu, jangan tak ingat sekarang ni waktu belajar. SPM tak lama lagi. Mak tak halang kamu nak berkawan tetapi sendiri pandai ingat lah ya..” nasihat Puan Latijah dan terus menyuap nasi ke dalam mulut. Sofia yang pada mulanya tersedak mendengar nama Imran kemudiannya tersenyum nakal. Ada lah yang ingin disakatnya tu..
“Waseh mak..macam orang muda. Sendiri pandai ingat lah ya.. hahaha!”.
“Ingat mak duduk rumah tak tau cakap orang-orang muda ke?” balas Puan Latijah sambil tersenyum.
Zarifa merupakan sahabat baik Sofia sejak dari sekolah rendah. Banyak rahsia serta suka duka yang mereka kongsikan bersama. Mereka sering ke mana-mana bersama dan Sofia amat menyayangi dan mempercayai Zarifa. Sofia disenangi keluarga Zarifa manakala Zarifa telah dianggap seperti anak sendiri oleh orang tua Sofia. Zarifa lebih suka berada bersama keluarga Sofia kerana keadaan keluarganya yang tidak begitu baik. Ayahnya telah meninggalkan mereka sekeluarga dan mengahwini wanita lain ketika Zarifa masuk tingkatan 1. Ibunya terpaksa bertungkus-lumus membesarkan mereka tiga beradik. Abangnya yang marah dengan ayah mereka mula melibatkan diri dengan rakan-rakan yang tidak elok dan menyebabkan abangnya diberhentikan sekolah kerana sering ponteng dan menimbulkan masalah di sekolah. Zarifa amat malu dan dipinggirkan di sekolah lantaran sikap abangnya. Nasib baik Sofia sentiasa memberikan sokongan kepadanya ketika itu. Adiknya, Amiza beruntung kerana tidak berada di sekolah yang sama kerana masih di sekolah rendah.
Imran pula merupakan teman lelaki Sofia dan dua tahun lebih tua daripada Sofia. Mereka telah bercinta sejak tingkatan 4. Walaupun sedar masih bersekolah namun bila hati dah terpaut semuanya tidak menjadi halangan. Payah juga Imran hendak memikat Sofia dahulu tetapi mujurlah ada Zarifa yang sudi menghulurkan bantuan. Imran merupakan antara top student di sekolah mereka tetapi dia jarang berdampingan dengan pelajar perempuan walaupun banyak yang meminatinya. Apabila melihat Sofia hatinya terus terpikat namun salam perkenalan dipandang dingin oleh Sofia. Dengan bantuan Zarifa barulah Imran berjaya memikat hati Sofia. Kini, hubungan mereka hampir 2 tahun. Imran sanggup masuk tingkatan enam semata-mata ingin bersama dengan Sofia. Mereka merancang untuk masuk universiti yang sama setelah Sofia tamat SPM.
Puan Latijah hanya mampu memberi nasihat kepada Sofia apabila Sofia mengkhabarkan hubungannya dengan Imran. Dia yakin Sofia pandai membawa dirinya.

SETIA UNTUKMU